Friday, July 4, 2014

PROGRAM HARI TERBUKA 2014 DAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK 2014

Program Hari Terbuka 2014 SMKDA telah diadakan pada hari Selasa 1 Julai 2014 bertempat di Dataran Ilmu dan Dewan sekolah. Program tersebut bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Matlamat program ini diadakan untuk mewujudkan kerjasama peningkatan akademik pelajar melalui hubungan sekolah, ibu bapa dan penjaga. Objektif perlaksanaan program ialah ibu bapa dan penjaga dapat mengetahui secara lebih dekat prestasi akademik anak-anak serta dapat merapatkan hubungan pihak sekolah dan komuniti.

  Hari terbuka sekolah juga diadakan bertujuan untuk penyerahan buku rekod peperiksaan pelajar kepada ibubapa pelajar tersebut. Guru tingkatan akan memberitahu tentang prestasi anak mereka di sekolah ini. Sebelum semua ibu bapa pelajar berjumpa guru tingkatan, satu taklimat PT 3 telah diadakan sebagai langkah awal pendedahan kepada ibu bapa tentang bentuk peperiksaan yang bakal pelajar duduki. 
Pada sebelah paginya telah berlangsung Perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan yang telah dirasmikan oleh DSP Ghazali bin Mohamad (Komandan PULAPOL). Para pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan Setengah Tahun 2014 telah menerima sijil sebagai penghargaan usaha mereka dalam mencapai kejayaan akademik.

Kerjasama dengan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justerunya, hari terbuka yang diadakan  pelajar diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Seawal jam 9.30 pagi, kenderaan ibubapa mula membanjiri perkarangan  sekolah. Ibubapa dan penjaga dengan diiringi para pelajar menuju ke dewan untuk menghadiri sesi taklimat PT 3.

Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka. Ibubapa juga dilihat professional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu maklamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.

Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SMKDA tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.